Jujutsu Kaisen 0

Jujutsu Kaisen 0[lower-alpha 1] ialah siri manga Jepun yang ditulis dan diilustrasikan oleh Gege Akutami. Manga ini asalnya bertajuk "Sekolah Tinggi Khas Seni Mantera Kota Raya Tokyo" (東京都立呪術高等専門学校, Tōkyō Toritsu Jujutsu Kōtō Senmon Gakukyō, Bahasa Inggeris: Tokyo Metropolitan Curse Technical School) yang telah disirikan dalam majalah Jump GIGA keluaran Shueisha dari April hingga Julai 2017. Selepas Akutami melancarkan Jujutsu Kaisen pada tahun 2018, siri ini dijudulkan semula sebagai Jujutsu Kaisen 0 menjadi suatu karya prekuel dan diterbitkan dalam satu jilid tankōbon pada Disember 2018. Penerbitan bahasa Inggeris manga dilesenkan di Amerika Utara oleh Viz Media. Siri ini mengikuti Yuta Okkotsu, seorang pelajar muda yang menjadi pemantera dan berusaha untuk mengawal semangat terkutuk rakan zaman kanak-kanaknya Rika Orimoto.Akutami menulis siri ini tanpa tema untuk diikuti tetapi mahu menulis dan melukis watak yang kelihatan gempak. Dia sering disokong oleh dua penyuntingnya semasa menulis manga. Manga ini merupakan kejayaan komersial di Jepun dan Amerika Utara. Sambutan kritikal terhadap manga secara umumnya positif; beberapa pengulas memuji peranan Yuta dan hubungan tragisnya dengan Rika. Pengkritik, bagaimanapun, berbelah bahagi mengenai protagonis yang paling sesuai dalam karya Akutami. Jujutsu Kaisen memfokuskan pada Yuji Itadori, yang walaupun mempunyai beberapa persamaan dengan Yuta, mempunyai perwatakan yang berbeza. Hubungan pelakon utama juga mendapat sambutan baik dan karya seni manga ini mendapat pujian. Jujutsu Kaisen 0 menerima sebuah adaptasi filem anime oleh MAPPA, yang diarahkan oleh Sunghoo Park dan ditayangkan di Jepun pada Disember 2021. Ia diikuti oleh novelisasi dan bab lelucon baharu yang ditulis oleh Akutami.